PUTRAJAYA - Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) membuktikan kepimpinan negara mengiktiraf peranan penting penjawat awam sebagai jentera pelaksana dasar kerajaan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, BKKA juga mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap prestasi serta sumbangan cemerlang penjawat awam dalam memastikan kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.
Ujar beliau, BKKA bukan sahaja akan meringankan beban kos persiapan Aidilfitri, malah turut menyuntik semangat dan motivasi kepada seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus berbakti dengan lebih cemerlang dan berintegriti.
"Di samping itu, CUEPACS menggalakkan penjawat awam untuk turut menyokong peniaga-peniaga kecil di bazar Ramadan dan pasar tempatan sebagai usaha membantu merancakkan ekonomi rakyat," jelas Adnan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian BKKA RM500 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah.
Bantuan khas sebanyak RM250 turut dibayar kepada pesara yang merangkumi pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara KWSP, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.