BKKA bukti pemimpin negara iktiraf penjawat awam - Cuepacs

SINAR HARIAN - 21 Mac 2025

PUTRAJAYA - Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) membuktikan kepimpinan negara mengiktiraf peranan penting penjawat awam sebagai jentera pelaksana dasar kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, BKKA juga mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap prestasi serta sumbangan cemerlang penjawat awam dalam memastikan kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.

 "Kami berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin kepada penjawat awam walaupun baharu sahaja menikmati kenaikan gaji yang telah diumumkan pada hujung tahun lepas serta pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK Persekolahan) Februari yang lalu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau, BKKA bukan sahaja akan meringankan beban kos persiapan Aidilfitri, malah turut menyuntik semangat dan motivasi kepada seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus berbakti dengan lebih cemerlang dan berintegriti.

 "CUEPACS turut menyeru agar para penjawat awam bijak dalam menguruskan kewangan yang diterima ini dan menggunakan bantuan tersebut sebaiknya.

"Di samping itu, CUEPACS menggalakkan penjawat awam untuk turut menyokong peniaga-peniaga kecil di bazar Ramadan dan pasar tempatan sebagai usaha membantu merancakkan ekonomi rakyat," jelas Adnan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian BKKA RM500 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah.

Bantuan khas sebanyak RM250 turut dibayar kepada pesara yang merangkumi pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara KWSP, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

 

CONTACT US

KESATUAN KAKITANGAN UMUM UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (KKUUiTM) 
Aras 1, Kompleks Teratai 1, UiTM
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Malaysia
Tel: +603-55443739
HP: +019 2448486

         

  KESATUAN KAKITANGAN UMUM
UNIVERSITI TEKNOLO
GI MARA