Tangguh waktu kerja jururawat: Beri ruang untuk pandangan, kata Cuepacs

SINAR HARIAN
https://www.sinarharian.com.my/TangguhWaktuKerjaJururawat

SEREMBAN - Langkah Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu bagi jururawat merupakan tempoh bertenang dan memberi ruang untuk semua pihak memberikan pandangan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, pihaknya yakin isu itu akan ditangani segera agar sistem penyampaian kesihatan kepada rakyat tidak terkesan.

"Keputusan penangguhan pelaksanaan waktu kerja 45 jam dan mengekalkan 42 jam selama tiga bulan adalah satu tempoh yang bersesuaian untuk semua pihak memberi pandangan.

"Cuepacs sendiri akan memberi pandangan kepada kerajaan dalam waktu terdekat berkenaan kaedah waktu kerja yang dibangkitkan oleh semua pihak termasuk jururawat," katanya ditemui Pelancaran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas statistik KKM merekodkan seramai 582 orang jururawat meletakkan jawatan sepanjang 2024.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, antara sebab peletakan jawatan itu ialah isu penempatan, mengikut pasangan berpindah, syif bekerja, masalah kesihatan dan peribadi menjadi faktor peletakan jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian sentiasa usaha meningkatkan pengambilan jumlah jururawat bagi memenuhi keperluan di setiap fasiliti kesihatan.

Adnan berkata, pihaknya memohon untuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan bagi tujuan membincangkan isu tersebut kerana tidak mahu melihat sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan terkesan disebabkan isu waktu kerja tersebut.

"Cuepacs percaya penangguhan ini mampu untuk melegakan keadaan dan ruang memberi pandangan serta cadangan dalam mencapai satu keputusan menang-menang dalam semua keadaan.

"Kita ada terima maklum balas berkaitan peletakan jawatan ini ada disebabkan tekanan kerja kerana waktu kerja syif berganda dan sebagainya.

"Semua perkara ini sedang diteliti supaya kesan daripada pemberhentian ini tidak memberi kesan kepada taraf penyampaian kesihatan kerajaan kepada rakyat, " katanya.

25 Februari lalu, KKM bersetuju penangguhan pelaksanaan waktu kerja 45 jam bagi jururawat supaya pelbagai isu berbangkit ditangani terlebih dahulu.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada sekumpulan ahli Parlimen dan senator yang menemuinya untuk membincangkan isu berkenaan.

Dr Dzulkefly memaklumkan, KKM masih menjalankan sesi libat urus di seluruh negara sebelum memuktamadkan keputusan berhubung pelaksanaan tempoh bekerja 45 jam bagi petugas syif termasuk jururawat, penolong pegawai perubatan dan pemandu ambulans.