KKUITM selar pihak burukkan UiTM dengan pelbagai isu
SHAH ALAM — Kesatuan kakitangan UMUM Universiti Teknologi Mara (KKUITM) kecewa dengan tindakan beberapa pihak yang berusaha memburukkan imej UiTM dengan pelbagai isu yang remeh.
Menurut Presiden Kesatuan Kakitangan UMUM UiTM (KKUiTM), Zulkifli Mohamed, sehubungan dengan itu pihaknya menggesa pihak terbabit agar berhenti untuk menjadikan UiTM ini sebagai alat untuk meningkatkan populariti masing-masing.
“Umum mengetahui bahawa UiTM ini adalah merupakan institusi yang amat penting bagi pembangunan orang melayu dan bumiputera.
“Umum juga mengetahui bahawa dengan 38 kampus di seluruh Malaysia UiTM telah banyak membantu meningkat taraf hidup masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap laporan media berhubung beberapa isu melibatkan pelaburan anak syarikat UiTM dan isu pembaziran institusi pendidikan tersebut.
Beliau berkata, sepanjang penubuhannya, UiTM sentiasa komited dalam menjayakan aspirasi bangsa dan negara tanpa gagal.
Justeru pihak KKUiTM ingin memberi ingatan kepada pihak di luar sana agar insaf dan bermuhasabah diri.
“Jangan hanya kerana cita-cita individu, UiTM hendak dijadikan barangan untuk tukar ganti demi memenuhi nafsu serakah kepentingan sendiri.
“Jagalah maruah UiTM, institusi keramat yang telah membantu kita semasa kita berkhidmat atau belajar, kini tibalah masa untuk kita sama-sama membangun UiTM sehingga titisan darah yang terakhir,” katanya.
Katanya lagi, walau apa pun keadaannya biarlah isu pelaburan tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya.
Tambahnya, KKUiTM sebagai kumpulan pelaksana UiTM akan sentiasa bersama-sama kepimpinan UiTM untuk terus maju ke hadapan beriringan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.
“Pokok yang rendang jangan diracun agar semua dapat menumpang teduh,” jelasnya.
Pautan : https://bebasnews.my/2023/02/17/kkuitm-selar-pihak-burukkan-uitm-dengan-pelbagai-isu/
: https://malaysiagazette.com/2023/02/17/kkuitm-gesa-henti-burukkan-imej-uitm/
: https://www.sinarharian.com.my/article/245918/berita/semasa/
: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/02/jaga-maruah-uitm-kkuitm/